Kaum Iban dikenali sebagai Dayak Laut dan merupakan kumpulan etnik yang terbesar di Sarawak. Mereka mendiami daerah dan bahagian negeri Sarawak dari daerah Lundu sehingga Limbang. Kebanyakan penduduk Iban adalah di bahagian Kota Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Kapit, Bintulu, dan Miri. Kebanyakan kaum Iban tinggal berkampung di rumah panjang yang biasanya terletak di tebingan sungai seperti di Lembah Sungai Saribas, Sungai Skrang, Sungai Batang Lupar dan Sungai Rajang kerana pada masa dahulu sungai merupakan jalan perhubungan dan sumber utama dalam kehidupan seharian mereka.Namun demikian, pada masa kini dengan adanya sistem jalan raya, ramai masyarakat Iban sekarang telah mula membina rumah panjang di tepi jalan raya dan kebanyakan masyarakat Iban sekarang telah menetap dan bekerja di bandar-bandar besar di sekitar Sarawak.
Rumah Panjang Di Sarawak
Pakaian tradisional lelaki Iban terbahagi kepada dua iaitu kain sirat dan dandong. Kain sirat dikenali juga sebagai kain cawat merupakan pakaian asas kaum Iban. Sirat dipakai dengan cara cara melilitnya di pinggang dan celah kelengkang. Hujung kain ini dijuntaikan dari pinggang ke hadapan dan belakang badan. Dandong pula merupakan kain selendang yang dipakai oleh lelaki Iban. Dandong lebih lebar daripada bedong. Dandong diperbuat daripada kain yang ditenun dengan cara ikat.
Pakaian tradisional wanita Iban terbahagi kepada tiga jenis iaitu bidang, kalambi, dan bedong. Bidang merupakan sejenis kain sarung yang sempit dan panjangnya cuma separas lutut. Baju pula dipanggil kalambi dan terdapat dua jenis iaiatu kalambi berlengan dan kalambi tanpa lengan. Selain daripada itu, kaum wanita juga memakai kain selendang yang panjang dan sempit. Kain selempang ini dikenali sebagai bedong, iaitu ia dihiasi oleh reka corak tenunan yang sangat halus.
Tarian Ngajat sangat polpular di kalangan orang Iban di Sarawak. Penari akan memakai pakaian tradisi seperti 'sirat', 'gagung', atau baju burung. Penari juga memakai topi yang dihias dengan bulu burung. Gagung merupakan baju yang tebal dan keras yang diperbuat daripada kulit haiwan seperti kulit beruang.
Perayaan Gawai merupakan perayaan utama bagi suku kaum Iban. Selain daripada itu, ia juga perayaan utama bagi kaum Bidayuh,Kayan, Kenyah dan Orang Ulu. Gawai Dayak disambut pada 1 & 2 Jun. Tarian Ngajat akan dipersembahkan sebagai tanda kesyukuran dalam penghasilan menuai padi sepanjang tahun tersebut. Tuak atau sejenis minuman yang diperbuat daripada ragi dan beras akan dihidangkan kepada tetamu.